KUCHING: Stesen TV pertama yang dimiliki kerajaan negeri Sarawak, TVS, telah mengumumkan kerjasama dengan Sarawak United FC selaku rakan media rasmi untuk membawakan kandungan yang segar berkenaan perkembangan kelab tersebut kepada para peminat bola sepak tempatan khasnya dan di seluruh negara amnya.
Kerjasama ini mendukung Sarawak United FC sebagai pasukan yang sedang mendahului Liga Premier Malaysia Musim 2021.
Kelab tersebut telah menaiki tangga kedudukan sejak diperkenalkan ekoran penjenamaan semula pada 2019.
TVS berbangga untuk melibatkan diri dalam usaha menggilap bintang yang sedang meningkat naik ini sekaligus memberi inspirasi kepada para peminat bola sepak di Sarawak dan seluruh negara.
“Kerjasama ini menguntungkan kedua-dua belah pihak. TVS berbesar hati untuk menghasilkan kandungan bersama Sarawak United FC untuk dinikmati oleh para peminat bola sepak,” kata Suhaimi Sulaiman selaku Ketua Pegawai Eksekutif TVS.
Para peminat bola sepak bakal mengetahui maklumat terkini mengenai kelab, rutin harian para pemain dan perkembangan pasukan, selain dihiburkan dengan kandungan yang mencetuskan inspirasi daripada TVS dan Sarawak United FC.
Namun begitu, perlawanan langsung belum dapat dilaksanakan kerana tiada pemilikan hak penyiaran pada masa ini.
Penasihat Undang-Undang Sarawak United FC, Haizul Azmi Dzulkafli, berkata, “Sarawak United FC gembira dengan kerjasama ini kerana ia memberi peluang yang unik untuk memanfaatkan kandungan mesra peminat yang dihasilkan oleh TVS semasa dan selepas pandemik nanti.”
Teruskanlah menonton TVS Saluran 122 Astro dan MYTV untuk berita-berita terkini.