KUCHING, MEI 21: Ahli Dewan Undangan Negeri Lingga Simoi Peri menyangkal dakwaan kononnya beliau telah potong barisan semasa program penerima vaksin di Stadium Perpaduan Negeri semalam semasa program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV)bagi Orang Kurang Upaya (OKU).
Hal itu hangat diperkatakan setelah tersebar di media sosial.
“Saya berada di Sri Aman pada hari Rabu, bagaimana pula saya berada di Stadium Perpaduan Negeri,” kata Simoi.
“Saya menyangkal sepenuhnya penyebaran berita palsu yang bertujuan mencemarkan imej dan kredibiliti saya sebagai wakil rakyat.
“Malah saya telah lama di Sri Aman untuk menjalankan tugasan sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga” katanya yang menyifatkan perkara tersebut sebagai berita palsu.
Jelasnya lagi, beliau sebelum ini telah selesai menerima suntikan vaksin Covid-19 di Sri Aman dan bukannya di Stadium Perpaduan Negeri di Kuching seperti yang tular di media sosial.