Ternyata situasi pandemik Covid semakin runsing saban hari dan antara sektor yang paling terjejas adalah sektor pelancongan dimana industri hotel merudum akibat sekatan perintah kawalan pergerakan.
Namun bagi Pengurus Besar Hotel Pullman Kuching dan Miri, Ishak Ibrahim, mereka mengubah persepsi perniagaan mereka dengan mengadaptasi konsep gerai penjaja dengan menjual pelbagai juadah makanan dan minuman di perkarangan hotel mereka.
Dengan pendekatan bisnes formal sebuah hotel, mentransformasi ke sebuah konsep gerai penjaja, Ishak berkata walaupun mengubah konsep cara perniagaan tetapi juadah mereka tetap bertaraf 5 bintang dengan menetapkan harga setanding dengan gerai di luar.
“Kami mendapat respon yang baik dari pembeli dan orang ramai, sehubungan itu kami ingin menambah lebih banyak lagi gerai ” kata Encik Ishak sambil menjelaskan pihaknya akan mengambil balik pekerja yang sebelum ini diberikan cuti tanpa gaji.
Penjelmaan idea ini mendapat sambutan di kalangan staf mereka dan secara tidak langsung menjana pendapatan hotel serta staf pekerja.
Ishak mengakui cabaran yang dihadapi industri perhotelan dan berkata, tempoh pemulihan ini akan mengambil masa yang panjang sehingga hujung tahun ini. Mereka hanya bergantung dengan kedatangan pelancong tempatan dari semenanjung Malaysia dan Sabah berbanding pelancong asing sebelum ini.
Beliau bersyukur kerajaan turut membantu industri ini dengan menyediakan pelbagai insentif dan subsidi bagi menyelamatkan perniagaan mereka.
“Saya berharap kerajaan akan meneruskan insentif dan subsidi bagi menghidupkan industri perhotelan demi mengekal perniagaan mereka” katanya.