SIBU: Enam buah rumah kediaman dilaporkan terbakar pada awal pagi Khamis di Jalan Tiong Hua di sini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak mula-mula menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah kosong melalui MERS 999 dan mengarahkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun komander operasi melaporkan kebakaran sebenarnya melibatkan enam buah rumah kediaman yang bukan rumah kosong seperti yang dilaporkan oleh pemanggil.
Satu blok rumah bertiang serta lantai bergantung (binaan lama) dan mempunyai enam pintu rumah berstruktur tidak kekal (kayu) telah terbakar sepenuhnya.
Semasa kebakaran, kesemua penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri tetapi sesetengah penghuni telah berpindah ke rumah saudara terdekat, yang menyukarkan usaha pihak bomba untuk mendapatkan maklumat penghuni terbabit.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.38 pagi, dan punca kejadian masih dalam siasatan.
BBP Sibu Sentral, yang mempunyai sembilan anggota dan diketuai Pegawai Balai Kanan II Donny Sumping, dibantu oleh BBP Sungai Merah yang diketuai PBK II Terrance.