MUKAH: Sementara orang lain sibuk dengan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri, dengan mengemas dan menghiasi rumah, menyediakan juadah dan sebagainya, lain pula keadaannya bagi tiga buah keluarga di Kampung Masjid Balingian di sini.
Nasib malang menimpa mereka apabila kediaman mereka ranap sepenuhnya dalam satu kebakaran yang berlaku kira-kira jam 9.15 pagi Rabu.
Salah seorang mangsa, Mahdzar Ahmad Sunik, berkata rumah mereka musnah sepenuhnya selepas dijilat api, dan mereka hanya tinggal sehelai sepinggang kerana tidak sempat menyelamatkan apa-apa disebabkan oleh kejadian yang berlaku terlalu cepat.
“Ada rumah orang sebelah, dia pun tak tahu. Rumah sebelah itu tidak ada orang. Ketika api itu membara, ia terus merebak dengan cepat kerana sekarang musim panas. Tak sampai setengah jam, tiga buah rumah sudah musnah habis,” kata Mahdzar menceritakan kejadian.
Sebuah lagi rumah turut mengalami kerosakan akibat bahang kebakaran tetapi tindakan pantas pasukan bomba berjaya memadamkan api dan menyelamatkan rumah keempat itu.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, dengan lapan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Abu Hady Harry, bergerak ke lokasi kejadian yang dianggarkan sejauh 60 km dari balai.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang terdekat di Balingian turut dihubungi dan diarahkan untuk mengambil tindakan awal di tempat kebakaran.
Ketua Operasi dari BBP Mukah, Azman Hanapis, berkata dua keluarga yang terjejas akan ditempatkan di Dewan Serbaguna Balingian manakala dua lagi akan tinggal bersama saudara-mara buat sementara waktu.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya sekitar jam 10.20 pagi dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.