KUCHING: Tiada halangan untuk umat Islam di Sarawak menyambut Hari Raya Aidilfitri namun ia mesti melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja, kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
“Sambut hari raya dibenarkan namun tiada rumah terbuka dengan bilangan yang hadir separuh daripada kapasiti rumah.
“Jangan melanggar peraturan yang ditetapkan dan hanya ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan untuk berkunjung,” katanya ketika ditemui pada Program Jerayawara Bubur Lambuk Saberkas Cawangan Pantai Damai di Kampung Rampangi Fasa 1.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, sambutan hari raya yang dibenarkan di Sarawak adalah dari hari pertama hingga hari ketujuh.
Sementara itu menurutnya, ziarah tanah perkuburan pula adalah tidak digalakkan semasa hari raya Aidilfitri.
“Kalau hendak menzirahi kubur, hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Ia termasuklah bilangan individu yang menziarah tidak melebihi lima orang dalam satu-satu masa selain tidak melebihi 20 minit,” tambahnya.