Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

PDRM Mesti Kekal Bersih

ByEekbal Yusuf

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mesti kekal sebagai sebuah pasukan penjaga keamanan dan keutuhan negara sekali gus menolak campur tangan anasir luar dalam urusan menentukan hala tuju pasukan keselamatan negara itu, kata Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara di sini hari ini berkata sepanjang dua tahun memegang tampuk pemerintahan pasukan, beliau berusaha memerangi gejala rasuah dan meningkatkan integriti pasukan itu.

“Saya lawan rasuah dalam pasukan…saya tidak mahu pasukan ini diguna untuk menakut-nakutkan orang dengan menjalankan kerja-kerja kotor.

PDRM perlu berlaku adil tanpa mengira bangsa, agama dan rakyat,” katanya yang berharap pengganti beliau akan meneruskan usaha membanteras amalan rasuah dalam kalangan anggota dan pegawai polis. 

Kontrak perkhidmatan Abdul Hamid sebagai Ketua Polis Negara dijadualkan tamat pada Isnin ini dan jawatan itu akan diisi Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada satu majlis di Putrajaya hari ini menyerahkan surat pelantikan Ketua Polis Negara kepada Acryl Sani berkuat kuasa 4 Mei. Majlis serah terima tugas kepimpinan tertinggi PDRM itu dijadual 9 pagi Isnin ini.

Hamzah pada sidang media selepas majlis itu berkata pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

Abdul Hamid berkata misi utama beliau adalah untuk mengembalikan martabat PDRM dan walaupun sukar untuk dicapai sepenuhnya, ia telah menampakkan hasil apabila kejayaan demi kejayaan dicapai dalam memerangi ancaman dadah dan tahap intergriti dalam kalangan warga PDRM juga meningkat.

Ditanya siapa bakal Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Acryl Sani, Abdul Hamid berkata pada masa ini tiga pengarah mempunyai kekananan untuk jawatan itu iaitu Pengarah Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard Datuk Zamri Yahya; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Pengurusan Datuk Ramli Din.

“Saya tahu ramai yang mahukan (Ketua Polis Johor) Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay…beliau akan akan kembali sebagai Pengarah JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah),” katanya.     

Memulakan sidang media dengan merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, Abdul Hamid berkata beliau bersyukur diberi rezeki memimpin pasukan keselamatan negara itu selama dua tahun.

“Dua tahun ini telah mencukupi kerana ada orang yang lebih baik (untuk pegang jawatan ini)…saya sudah bersihkan laluan dan menebang semua pokok-pokok besar…Acryl hanya perlu teruskan perjuangan dia sebagai IGP yang baharu dan membersihkan masalah intergriti dan rasuah dalam PDRM…,” katanya  yang turut menolak kemungkinan untuk menceburi bidang politik.

“Saya nak berkebun,” katanya.

— BERNAMA  

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan