SARIKEI: Mayat remaja lelaki yang dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai ketika memancing berhampiran Bukit Kinyau semalam telah ditemukan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin, mayat Muhd Imran Najmi Mokthar, 18, telah ditemukan jam 11.30 pagi tadi pada jarak 100 meter dari lokasi mangsa jatuh oleh penduduk yang turut menyertai operasi pencarian itu.
Sejurus ditemukan katanya, mayat dibawa ke terminal dua sebelum dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.
Semalam, mangsa dilaporkan terjatuh ketika tidur di atas bot itu dan kehilangannya terjawab selepas rakannya menemui selimut yang digunakan mangsa timbul di atas permukaan air.
Dalam kejadian pada kira-kira 12.30 malam itu, mangsa dilaporkan tidur di atas perahu berkenaan sebelum terjatuh ke dalam sungai.
Kehilangannya terjawab selepas rakanya menjumpai selimut mangsa terapung di atas sungai.
Operasi turut disertai Angkatan Pertahan Awam (APM), Polis Marin, Lembaga Sungai -Sungai Sarawak, Lembaga Kemajuan Ikan Tanjung Manis serta bantuan penduduk kampung.