KUCHING, 20 April – Pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Sarawak tidak dibenarkan meninggalkan kampus atau pulang ke rumah masing-masing susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan masyarakat, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata selain pelajar IPT, arahan itu juga terpakai untuk pelajar sekolah berasrama, dan mereka dikehendaki terus kekal di asrama masing-masing demi keselamatan diri dan keluarga.
“Memandangkan semua sekolah di Sarawak yang berada dalam zon merah ditutup sehingga 3 Mei, kita mengambil keputusan agar arahan melibatkan pelajar IPT dan berasrama itu juga dikuatkuasakan selama 14 hari,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, Uggah berkata JPBN telah memutuskan penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Batu Gong, Siburan, memandangkan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu.
“Di samping itu juga tiada bukti menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan itu dan JPBN ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan penduduk kampung atas kerjasama menjayakan PKPD itu,” katanya.
Hari ini terdapat 600 kes baharu COVID-19 dikesan di Sarawak menjadikan keseluruhan jumlahnya meningkat kepada 25,129 kes.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing berkata proses vaksinasi di Stadium Tertutup Sibu hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan bekalan vaksin yang diperlukan belum mendapat pelepasan Kementerian Kesihatan (KKM).
Perancangan awal Jabatan Kesihatan Negeri adalah untuk memberikan vaksin itu kepada 800 petugas barisan hadapan dan penerima Fasa Kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi penerima dalam senarai menunggu hari ini.
“Bagaimanapun, pada 16 April pihak kami dimaklumkan terdapat masalah ‘lot release’ oleh KKM dan vaksin itu tidak dapat dibekalkan ke Sibu,” katanya pada sidang media sama.
— BERNAMA