KUCHING: Penutupan sementara bilik berita TVS akibat pandemik COVID-19 sehingga mengakibatkan hampir kesemua kakitangan perlu bekerja dari rumah menyaksikan keperluan untuk melaksanakan gerak kerja dalam norma baharu, iaitu dengan bersiaran dari luar studio atau lebih tepat lagi di kediaman masing-masing.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TVS Suhaimi Sulaiman, pendekatan yang digunakan adalah bertepatan dengan misi TVS untuk menyampaikan bahan tontonan yang segar, penuh pengisian, menghiburkan dan pada masa sama menginspirasikan semua.
“COVID-19 bukan alasan untuk kita tidak berkarya. Penonton mahukan berita yang terkini. Kita perlu jadi penyiar yang kreatif menggunakan cara terbaik untuk bersiaran dan berfikir secara lateral menyelesaikan masalah,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara mereka yang akan menyampaikan berita pada malam ini — Steward Dawi, Priscilla John, Nur Suhaida dan Connie Grace.
Turut serta Khairil Zharif Affindie, yang disahkan positif COVID-19 dan akan bersiaran dari pusat kuarantin khas.
Malah, Suhaimi sendiri yang satu ketika dahulu merupakan seorang penyampai berita akan turut serta bersiaran dari kediamannya.
Saksikan para wartawan TVS menyampaikan berita dari kediaman masing-masing bermula dengan Utama TVS pada jam 8 malam, Ahad, 18 April 2021.