KUCHING: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) selaku rakan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 adalah lebih penting berbanding peruntukan kerusi untuk Bersatu.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata sama ada parti itu akan diberikan kerusi untuk ditandingi pada PRN tersebut merupakan soal kedua.
“Kalau boleh kita mahukan ‘landslide victory’ dan saya jangka (ini) mungkin (dapat dicapai) disebabkan usaha yang dibuat oleh Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) dan pimpinan dalam kabinet negeri serta rakan-rakan dalam GPS yang telah bekerja kuat.
“Apapun situasi, kita (PN) yang ada di Sarawak ini daripada Bersatu dan PAS, akan memberi sokongan penuh. Itu yang penting dan tidak ada pepecahan,” katanya pada sidang media selepas melawat projek naik taraf Hospital Umum Sarawak, di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata demikian ketika ditanya sama ada Bersatu yang pada masa ini diwakili oleh Datuk Ali Biju sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Krian, akan bertanding pada PRN ke-12 Sarawak.
Mengulas lanjut, perdana menteri berkata hasrat Bersatu selaku rakan seperjuangan dalam parti yang berjuang atas kefahaman yang sama ialah memastikan sokongan padu pengundi terhadap GPS agar ia dapat membentuk semula kerajaan negeri dengan sokongan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Apapun kita akan berbincang dan terserah kepada budi bicara Abang Johari serta pimpinan (GPS) di Sarawak untuk membuat keputusan… saya tidak mahu jelaskan lebih,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Whip GPS di Parlimen Datuk Seri Fadillah Yusof berkata gabungan itu yang melibatkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Parti Rakyat Bersatu Sarawak, Parti Rakyat Sarawak dan Parti Demokratik Progresif akan bertanding di semua 82 kerusi DUN pada PRN ke-12 Sarawak.
Kerusi DUN Krian dimenangi Ali atas tiket PKR pada PRN ke-11. Bagaimanapun, Ali yang juga Ahli Parlimen Saratok bertindak keluar parti pada Februari tahun lepas sebelum menyertai Bersatu pada Ogos.
Langkah Ali turut disertai Datuk Willie Mongin yang merupakan Ahli Parlimen Puncak Borneo.
— BERNAMA