KUCHING: Terbeban dengan masalah hutang, seorang lelaki berusia 31 tahun memilih jalan pintas menyelesaikan masalahnya dengan menjual dadah di sekitar Kawasan Kuching.
Suspek yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu dikatakan cuba membayar hutang Ah Long sebanyak RM10,000 menyebabkan dia akhirnya terlibat dalam aktiviti menjual dadah.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata suspek cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan modus operandinya namun akhirnya perbuatannya itu berjaya dibongkar pihak berkuasa.
“Suspek telah dicekup ketika meletakkan dan mencampakkan dadah-dadah di satu lokasi dan mengambil gambar lokasi tersebut dan dihantar kepada seorang lelaki yang juga tidak dikenali melalui aplikasi media sosial.
“Lelaki tersebut akan memaklumkan kepada pelanggan dimana lokasi-lokasi dadah diletakkan atau dicampak,” katanya pada sebuah sidang di sini hari ini Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan, hari ini.
Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan tersebut mendapati 18 paket plastik mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 145 gram.
Tambahnya, suspek telah ditahan pihak polis sekitar jam 9 pagi pada Rabu, ekoran tindakan mencurigakan apabila didapati menyembunyikan satu bungkusan dipercayai berisi dadah tersebut di dalam semak, berhampiran sebuah hospital swasta di Kuching.
Sususan penangkapan suspek, pihak polis telah menyerbu sebuah pangsapuri di Jalan Batu Kawa dipercayai kediaman suspek dan juga stor penyimpanan dadah berkenaan.
Menurutnya, penangkapan suspek turut membawa kepada penemuan dadah jenis syabu yang dianggarkan 23.8 kilogram dengan nilai RM955,500.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menjumpai beg bagasi mengandungi 21 bungkusan ‘teh’ dan mendapati di dalam bungkusan tersebut berisi ketulan kristal disyaki syabu yang dibalut dengan ‘bubble wrap’ serta pita pelekat yang keseluruhannya kira-kira 21.8 kg.
“Pasukan serbuan juga menjumpai satu kotak polisterin yang didalamnya didapati mengandungi 141 plastik berisi ketulan kristal disyaki syabu seberat kira-kira 1.8 kg,” tambahnya.
Suspek yang juga positif dadah jenis ketamin hasil ujian saringan air kencing ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) AKta Dadah Berbahaya 1952.