KUALA LUMPUR: Kelulusan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) di peringkat dasar memperlihatkan kematangan politik Malaysia apabila membenarkan pandangan dan perdebatan yang hangat daripada blok kerajaan dan pembangkang sebelum ia diluluskan.
Felow Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma berkata Belanjawan 2021 yang dibentang oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov lepas menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk membantu rakyat, perniagaan dan ekonomi dalam keadaan yang tidak menentu, apatah lagi respons daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang diberikan perhatian.
“Belanjawan 2021 ini mendengar suara dari akar umbi, cuma apa yang blok pembangkang tidak setuju adalah mungkin dari nilainya, caranya dan itu (Belanjawan 2021) adalah untuk penambahbaikan…kita melihat kerajaan dan pembangkang are doing a good job (menjalankan tugas dengan baik),” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk “Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat” yang disiarkan di Bernama TV.
Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada Khamis.
Madeline berkata sejurus selepas Belanjawan 2021 diluluskan, indeks saham meningkat sekali gus menunjukkan keyakinan pelabur berikutan kepastian dalam unjuran dan keharmonian suasana politik.
Turut senada dengannya Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Nik Mahmod berkata beliau melihat bahawa blok pembangkang bukannya menolak belanjawan tersebut, sebaliknya mahu cara pengundian yang berlainan.
“Proses pengundian paling utama adalah secara suara iaitu mendengar siapa yang berkata bersetuju berbanding dengan siapa yang berkata tidak setuju,” katanya.
Belanjawan 2021 memperuntukkan RM322.5 bilion iaitu RM236.5 bilion disediakan untuk perbelanjaan mengurus, RM69 bilion untuk perbelanjaan pembangunan, RM17 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.
— BERNAMA