KUALA LUMPUR: Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo mensasarkan untuk menamatkan musim 2020 dengan keputusan yang positif pada Grand Prix (GP) Portugal di sirkit Portimao.
Morbidelli yang mencatatkan kemenangannya yang ketiga di GP Valencia minggu lepas, berharap untuk menutup musim ini sebagai pelumba kedua terbaik kelas MotoGP, tetapi tidak mengambil mudah perlumbaan minggu ini kerana kesukaran pada sirkit sepanjang 4.6 kilometer itu.
Sebelum ini, pelumba dari Itali berusia 25 tahun itu memenangi perlumbaan di GP San Marino dan GP Teruel.
“Ia kawasan yang cantik, berhampiran laut dan trek ini agak berbeza dengan kebanyakan yang kita berlumba selalunya.
“Ia seperti ‘rollercoaster’ dengan terdapat banyak bukit tinggi. Ia satu sirkit yang sukar, jadi ia sesuatu cabaran yang bagus untuk mengakhiri musim tahun ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pasukannya semalam.
Sentimen yang sama dikongsi Quartararo yang berharap untuk bangkit daripada kekecewaan sebelum ini dan mengakhiri musim ini dengan bergaya.
“Agak sedih kita tidak dapat bawa penentu kejuaraan ke pusingan akhir, tetapi saya mahu berlumba dengan bagus pada perlumbaan terakhir tahun ini.
“Untuk lakukannya, sasaran ialah untuk cari kelajuan yang kami hilang sejak (perlumbaan) Le Mans. Saya benar-benar berharap yang kita boleh akhiri musim ini dan dua tahun bersama pasukan ini dalam cara yang baik dengan keputusan cemerlang,” kata pelumba dari Perancis berusia 21 tahun.
Pelumba Sepanyol Joan Mir dari pasukan Suzuki Ecstar merangkul kejuaraan MotoGPnya yang pertama, walaupun menamatkan perlumbaan GP Valencia di tempat ketujuh. Beliau mengumpulkan 171 mata selepas 13 perlumbaan.
Pada masa ini Morbidelli di tempat kedua dengan 142 mata, manakala Quartararo di tempat kelima dengan 125 mata selepas 13 perlumbaan.
GP Portugal akan bermula dengan sesi latihan bebas pada Jumaat, diikuti dengan sesi kelayakan pada Sabtu, dan perlumbaan sebenar pada Ahad.
— BERNAMA