Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Mesyuarat EAC Bincang Maklum Balas Berkaitan Kesan Akibat PKPB – Mustapa

ByEekbal Yusuf

KUALA LUMPUR: Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) akan membincangkan maklum balas golongan peniaga terhadap kesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini dilaksanakan semula di seluruh negara kecuali di Perlis, Kelantan dan Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya telah menerima maklum balas daripada beberapa sektor termasuk sektor peruncitan, penjaja, peniaga kecil, pengendali tadika, pengusaha hotel dan restoran, pemandu teksi serta sektor informal lain mengenai kesan PKPB ke atas perniagaan mereka.

“Secara umum, sektor perniagaan serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana mengalami banyak cabaran sejak PKPB dilaksanakan pada 14 Oktober, 2020.

“Sekretariat EAC akan membawa semua maklum balas ini kepada mesyuarat EAC pada minggu ini untuk dibincangkan. Antara cadangan daripada masyarakat perniagaan ini ialah supaya menyemak semula SOP PKPB bagi memastikan perniagaan mereka dapat diteruskan dan kembali pulih secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa yang sama, semua pihak perlu memperkukuhkan tekad dan lebih kreatif mencari jalan bagi memastikan kehidupan seharian dapat disesuaikan dengan kebiasaan baharu supaya ia mampu diteruskan dengan sebaik mungkin serta berusaha melandaikan keluk pandemik COVID-19.

Peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 di Malaysua turut menjejaskan pemulihan ekonomi yang sebelum ini mencatatkan prestasi pada suku ketiga tahun 2020 yang lebih baik dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup lebih kecil pada kadar 2.7 peratus berbanding dengan -17.1 peratus bagi suku kedua, kata Mustapa.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan