KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ahli Parlimen Gerik Allahyarham Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia malam tadi.
Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Hasbullah dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi suasana pilu itu.
‘’Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,’’ menurut kenyataan itu.
Hasbullah, 63, tidak sedarkan diri susulan serangan jantung ketika berada di dalam kereta semasa di kampung isterinya di Raub, Pahang kira-kira 6.30 petang semalam. Allahyarham kemudian dikejarkan ke Hospital Raub sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 7 malam.
Allahyarham merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor sejak 2004 sehingga 2013 sebelum bertanding dan memenangi kerusi Parlimen Gerik pada Pilihan Raya Umum ke-13. Hasbullah dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd pada 12 Mei lepas.
Hasbullah juga pernah menjadi setiausaha politik kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
–BERNAMA