KUALA LUMPUR: Keputusan ujian saringan COVID-19 bagi sampel kedua terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu lalu disahkan negatif, sekali gus mengesahkan beliau bebas COVID-19.
Muhyiddin dalam hantaran terbaharu akaun Facebooknya berkata tempoh kuarantin kendiri beliau juga tamat semalam.
“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
“KKM telah menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 bagi sampel kedua ke atas Perdana Menteri pada 14 Oktober dan telah disahkan negatif pada 15 Oktober. Sehubungan itu, Pejabat Perdana Menteri ingin memaklumkan bahawa kedua-dua ujian pengesanan COVID-19 bagi Perdana Menteri sepanjang tempoh kuarantin kendiri telah disahkan negatif dan tempoh kuarantin kendiri beliau tamat pada 16 Oktober,” demikian menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri terus komited mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan COVID-19 yang diadakan secara sidang video pagi tadi.
“Walaupun tempoh kuarantin kendiri telah tamat, mesyuarat khas MKN masih dijalankan melalui sidang video sebagai langkah berjaga-jaga dalam menghadapi situasi semasa COVID-19 di dalam negara.
“Mesyuarat khas MKN ini berlangsung setiap hari bermula 7 Okt lepas,” kata Muhyiddin menerusi hantaran tersebut.
Perdana Menteri sebelum ini dinasihatkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumahnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas MKN pada 3 Okt lepas yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif COVID-19.
— BERNAMA