KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam mesyuaratnya hari ini, memutuskan untuk mengetatkan lagi kawalan sempadan daratnya dengan Sabah, memandangkan bilangan kes COVID-19 yang semakin meningkat terutamanya di negeri jiran itu.
Pergerakan ke Sabah melalui sempadan Merapok, pekan paling utara Sarawak, dan Sindumin, pekan paling selatan Sabah, perlu diperketatkan lagi, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Agensi keselamatan akan menambah bilangan anggota dan kawalan termasuk di jalan-jalan tikus, sementara kawalan dan rondaan yang lebih ketat dan kerap juga akan dipertingkatkan di sempadan Kalimantan (wilayah Indonesia),” katanya pada sidang media di sini.
Ditanya sama ada kerajaan negeri Sarawak akan membantu dalam usaha menangani wabak COVID-19 di Sabah, beliau berkata keadaan di negeri jiran itu di bawah pengawasan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan kerajaan negeri akan membantu, hanya sekiranya diminta oleh MKN.
“Bagaimanapun, kita juga perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan penularan semula (Covid-19) di negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Rosmawati Ariffin yang turut hadir di sidang akhbar itu berkata, seramai 19 kakitangan jabatan itu dari Sarawak telah dihantar ke Sabah sejak dua minggu lepas, untuk membantu menangani wabak berkenaan.
— BERNAMA