Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Malaysia Bakal Jadi Negara Terawal Terima Vaksin Dari China

ByOdleen Catherny

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan China bagi memastikan Malaysia menjadi antara negara pertama mendapat vaksin COVID-19 dari negara itu, dijangka selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menerusi perbincangan bersama Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dengan rakan sejawatannya dari negara itu, China bersetuju untuk menyenaraikan Malaysia sebagai penerima utama vaksin selepas ia selesai menjalani ujian klinikal vaksin berkenaan.

“Saya cukup suka dengan jaminan ini dan saya telah meminta agar kerjasama ini dimeterai dalam bentuk MoU yang akan dibuat dengan China,” katanya pada sidang media khas di kediamannya di Putrajaya hari ini.

Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata kerajaan juga bersetuju untuk menyertai COVID-19 Vaccine Global Access (COVAX), sebuah badan antarabangsa yang mempunyai kemudahan untuk membantu negara membangun mendapatkan vaksin COVID-19 dan juga vaksin untuk penyakit lain.

Muhyiddin berkata walaupun ia melibatkan jumlah perbelanjaan yang besar, namun ia tidak menghalang kerajaan untuk mendapatkan bekalan daripada pembekal vaksin dari sumber lain.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengulangi pentingnya untuk mematuhi arahan kuarantin termasuk beliau dan menteri sendiri yang tidak terkecuali daripada mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Tidak ada ‘double standard’ dalam pelaksanaan yang telah dilakukan. Sama ada ia Akta 342 atau mana-mana undang-undang, Undang-undang tidak membezakan antara menteri atau orang biasa. Jika melakukan sesuatu yang salah, mereka akan berdepan dengan undang-undang…hukuman yang sepatutnya dikenakan, harus dikenakan,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai gelombang ketiga COVID-19 yang melanda negara ketika ini, Muhyiddin berkata kerajaan menggunakan strategi terbaik dalam mengawal penularan pandemik tersebut termasuk dari segi perbelanjaan.

“Kita berbelanja dengan berhemah. Permohonan daripada Kementerian Kesihatan untuk apa-apa urusan, saya luluskan 100 peratus dan ini adalah langkah penting untuk kita laksanakan memandangkan kes di Selangor dan Sabah sudah meningkat.

“Kita ambil langkah proaktif supaya dapat bendung wabak ini. Tapi kalau keadaan jauh lebih buruk, maka akan ada langkah lain yang kita akan ambil untuk bantu rakyat. Apa yang kita lakukan sekarang adalah bagi memastikan tiada ‘lockdown”.

“ Ramai yang terlibat dalam sektor ekonomi tidak mahu lagi PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), satu sekatan yang ketara bawa kesan besar kepada ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri kini menjalani kuarantin kendiri di kediamannya selama 14 hari sejak 5 Okt lepas.

Kuarantin itu berikutan beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Zulkifli telah disahkan positif jangkitan COVID-19 pada Isnin dan menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan