KUALA LUMPUR: Penubuhan Taman Realiti Maya (VR) pertama di Borneo, D-Virtual Park beri pendedahan mengenai teknologi baharu serta penggunaan aplikasi digital khusus kepada penduduk luar bandar.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, penubuhan itu selari dengan agenda Sarawak merevolusikan ekonomi digital di kalangan n2.8 juta penduduk tempatan di negeri ini.
“Untuk menjadi agresif di pasaran, kita harus dihubungkan dengan pasaran.
“Oleh itu, kita mesti menggunakan penghubung ke pasaran, iaitu dengan mempromosikan penggunaan lejer digital terbuka, pautan yang dihubungkan ke seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran taman tema dibawah inisiatif Serba Dinamik Sdn Bhd (SDHB) itu, pada Isnin.
Tambah Abang Johari, perminan dan studio yang disediakan di taman tema VR tersebut dapat mencabar pemikiran individu menjadi lebih kreatif dan inovatif.
Sementara itu, Pengerusi Serba Dinamik Group Bhd, Datuk Abdul Kadier Sahib berkata, SDHB melabur sebanyak RM13 juta untuk membangunkan taman tema itu, ia diharapkan dapat menarik 500,000 pengunjung dalam tahun pertama pembukaannya.
“D-Virtual Park dimulakan oleh SDHB untuk menyokong agenda ekonomi digital kerajaan negeri dan dibina menggunakan teknologi digital terbaik terdiri daripada realiti maya dan hiburan digital yang inovatif,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Memorandum persefahaman (MoU) oleh unit milik penuh SDHB Serba Dinamik IT Solutions Sdn Bhd (SDIT) dengan Persatuan E-Sukan Sarawak (SESA) turut diadakan.
Ia bertujuan untuk mempromosikan penggunaan digital dalam kalangan mereka yang berbakat pada masa depan melalui industri e-sukan, serta, mewujudkan dan bekerjasama dalam penggunaan SESA Mini Esports Hub @ D-Arena di Studio Inovasi Digital Serba, Kota Samarahan untuk industri e-sukan, kreatif, animasi dan permainan (VR dan AR).
SDIT juga menandatangani MoU dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) untuk mempromosikan dan memperkasakan digital bagi wanita dalam teknologi dan perusahaan di Sarawak, serta, untuk menjalin kerjasama dan kolaborasi dalam memanfaatkan Serba Digital Innovation Studio dan pusat JWKS bagi wanita mengambil bahagian dalam program inovasi dan kepimpinan.
Selain itu, StartUp Borneo menandatangani MoU dengan Women Rise Malaysia untuk mempromosikan dan memperkasakan digital bagi wanita dalam teknologi dan perusahaan serta menjalinkan kerjasama dengan menggunakan Serba Digital Innovation Studio.