KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memastikan keperluan melindungi nyawa dan kehidupan sentiasa diberi penekanan utama demi kepentingan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata langkah kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatian Rakyat (PRIHATIN); PRIHATIN PKS Tambahan; Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) dan Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin terus menunjukkan kesan yang positif.
“Ini berdasarkan tiga statistik iaitu Prestasi Perdagangan Borong dan Runcit; Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP); serta Perangkaan Pembuatan Bulanan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini bagi bulan Ogos yang telah menunjukkan peningkatan.
“Seiring dengan peningkatan indikator ini, Perkeso juga turut melaporkan pengurangan dalam kes kehilangan pekerjaan (LOE) dan peningkatan dalam penempatan semula pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mustapa berkata jumlah pekerja yang hilang pekerjaan semakin menurun iaitu sebanyak 7,388 orang pada September setelah mencecah kemuncak sebanyak 18,579 orang pada Jun lepas.
Pada masa yang sama, katanya, peningkatan dalam kadar penempatan semula pekerja juga meningkat mencapai 43 peratus pada September daripada kadar terendah iaitu 6.0 peratus pada Jun.
“Perkembangan positif ini bermula pada Jun lalu apabila kerajaan membuka semula semua sektor ekonomi selepas ditutup pada 19 Mac lalu,” katanya.
— BERNAMA