Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Anis Rizana Zainudin (kanan) mengadakan sidang akhbar pada Majlis Pelancaran Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Wisma Kastam Selangor, Pulau Indah, hari ini. Foto Bernama

Kutipan cukai JKDM setakat September melebihi sasaran

ByBernama

PELABUHAN KLANG, 10 Okt: Reformasi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah membantu meningkatkan pungutan hasil sebanyak 15.43 peratus setakat September lepas.

Ketua Pengarah JKDM Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata kutipan cukai melebihi sasaran, mencatatkan RM48.96 bilion berbanding RM42.42 bilion yang ditetapkan, dengan lebihan RM6.544 bilion bagi suku ketiga tahun ini.

Beliau berkata reformasi SOP ini dilaksanakan melalui Sistem Dokumen Sokongan Import Eksport (SDSIE), yang diperkenalkan pada September tahun lalu di Cawangan Import Eksport JKDM Pelabuhan Klang.

“Sistem ini dibangunkan untuk mempercepatkan proses taksiran, meningkatkan hasil, dan mengurangkan ketirisan, dengan ciri keselamatan yang tinggi.

“Sistem ini juga dilengkapi keupayaan menyimpan dokumen sokongan import dan eksport secara digital yang boleh diakses semula pada bila-bila masa untuk tujuan auditan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran SDSIE di sini hari ini.

Beliau berkata SDSIE, yang merupakan antara penyumbang kepada pencapaian cemerlang JKDM tahun ini, akan diperluas ke pelabuhan di Johor dan Pulau Pinang.

Pada Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan kepada JKDM untuk mencapai pungutan hasil berjumlah RM56 bilion bagi tahun 2024.

Mengulas mengenai prestasi penguatkuasaan JKDM bagi tempoh Januari hingga September, Anis Rizana berkata sebanyak 5,666 kes telah direkodkan, dengan nilai barangan rampasan, termasuk cukai, berjumlah RM1.31 bilion

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan nilai sebanyak 48.53 peratus berbanding RM884 juta bagi tempoh sama pada 2023,” katanya.

Beliau berkata rokok merupakan komoditi dengan nilai kes terbesar iaitu RM437 juta diikuti kenderaan, dadah, dan minuman keras. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan