Search
Close this search box.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly kembali terajui Kementerian Kesihatan

ByBernama

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kembali menerajui Kementerian Kesihatan susulan rombakan Kabinet hari ini.

Dzulkefly sebelum ini pernah dilantik sebagai Menteri Kesihatan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi tempoh 22 bulan dari 21 Mei 2018 hingga 24 Feb 2020.

Dalam tempoh perkhidmatannya, beliau antaranya berdepan cabaran awal penularan pandemik COVID-19 di negara ini selain memulakan langkah menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan.

Figura berusia 67 tahun itu memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Imperial College (St Mary’s Hospital Medical School), University of London dalam bidang Sains Perubatan (Toksikologi), Ijazah Sarjana Sains daripada University Surrey dan Ijazah pertama daripada University Birmingham, England dalam bidang sama.

Sebelum terlibat dalam politik, Dzulkefly pernah menjadi pensyarah di Fakulti Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kelantan.

Dzulkefly pertama kali bertanding atas tiket PAS bagi kerusi Parlimen Kapar pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10, namun tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dengan cubaan keduanya di Parlimen Rembau pada PRU11 juga berakhir dengan kekalahan kepada calon BN.

Beliau kemudian berjaya memenangi kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU12 menewaskan calon BN Datuk Jahaya Ibrahim, namun gagal mempertahankan kerusi itu pada PRU13 selepas tewas dengan majoriti tipis 460 undi kepada calon BN Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Bagaimanapun, pada PRU14, Dzulkefly yang merupakan Pengarah Strategik Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) berjaya merampas semula kerusi itu daripada penyandangnya dengan majoriti 8,498 undi.

Beliau mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU15 dalam saingan empat penjuru dengan memperoleh majoriti 1,002 undi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan