Abang Johari bakal lancar latihan kejuruteraan ART September ini

KUCHING, 21 Ogos: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual melancarkan latihan kejuruteraan prototaip Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen awal bulan depan.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata Abang Johari juga akan menaiki ART di laluan Isthmus.

Premier Sarawak lancar latihan kejuruteraan ART September ini | TVS

Kata beliau, latihan kejuruteraan bermula pada 4 September hingga 31 Oktober melibatkan laluan di Jalan Keruing melalui Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

“Tujuan uji pandu adalah untuk mengenal pasti sebarang isu sebelum bermulanya latihan bukti konsep (POC) di Kota Samarahan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Kim Shin memberitahu, penutupan jalan akan dilakukan pada 23 Ogos ini.

Sementara itu beliau memberitahu, sejurus selesai latihan kejuruteraan tersebut, ART akan terlibat dengan POC di Kota Samarahan selama sebulan di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan pada November.

“POC akan bermula di lorong khusus kekal tiga kilometer (km) yang dibina di antara bulatan berhampiran Pusat Jantung Sarawak ke bulatan berhampiran SAINS.

“Latihan ini bertujuan untuk mengumpul data dan seterusnya menilai kebolehlaksanaan prototaip untuk reka bentuk akhir ART bagi menampung kapasiti maksimum penumpang,” katanya.

Prototaip ART berkuasa hidrogen itu tiba di Terminal Senari pada 5 Ogos lalu.

Perkhidmatan ART di bawah projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dijadual beroperasi secara berperingkat bermula suku keempat 2025 dengan garis biru yang bermula di Rembus, Kota Samarahan ke Hikmah Exchange di pusat bandar raya. -TVS

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *