KUCHING, 3 Mac: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru masyarakat Islam di Sarawak untuk sentiasa berpegang kepada syariat agama sebagai jaminan untuk melahirkan ummah berkualiti.
Seperti termaktub dalam ajaran agama Islam menurut beliau para umat seharusnya bersandar teguh pada Al-Quran dan sunnah.
“Ini bertepatan dengan konsep Manhaj Rabbani berkualiti yang membawa kita kepada kehidupan yang berpegang kepada agama untuk melahirkan ummah berkualiti,” katanya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petrajaya berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Ujian Tilawah Al-Quran dan Hafazan N8 Satok 2023 bertemakan ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’ di Surau Darul Qarar, Kampung Temedak, pada Jumaat.
Beliau turut mengingatkan pengamatan terhadap Al-quran dan terjemahannya pasti mendorong kehidupan umat Islam ke arah yang lebih baik.
“Baik dari segi berdepan cabaran besar , sudah tentu apa yang kita lakukan adalah untuk mengamati Al-quran dan terjemahannya supaya dapat menjadi panduan kepada kita,” ujarnya.
Sementara itu, program Ujian Tilawah Al-quran dan Hafazan diberi nafas semula tahun ini selepas 11 tahun berehat.
Terdahulu kali terakhir program berkenaan diadakan di sini adalah pada tahun 2012.
Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Hilmi Othman dan Pengerusi Pengelola Ujian Tilawah Al Quran Peringkat DUN N8 Satok, Ali Sujang. – TVS