KUCHING, 19 Nov: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini menyaksikan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Parlimen Petra Jaya, Dato’ Sri Fadillah Yusof sedang mendahului pencabarnya apabila memperoleh majoriti sebanyak 17,592 undi setakat jam 8.30 malam.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, beliau meninggalkan lawannya dengan undi sebanyak 23,490, manakala Sopian Julaihi dari Pakatan Harapan (PH) dengan 5,898 undi, sementara Datuk Othman Abdillah dari Parti Sedar Rakyat Sarawak (SEDAR) memperoleh 452 undi.
Pada PRU-14, kerusi Petra Jaya telah menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Fadillah dengan Nor Irwan Ahmat Nor daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Hamdan Sani yang bertanding atas tiket Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Fadillah merupakan penyandang di kerusi berkenaan dan mempertahankannya pada 2018 dengan majoriti 15,017 undi. -TVS