KUALA LUMPUR, 11 Nov: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku ketiga 2022 mengukuh sebanyak 14.2 peratus.
Menurut kenyataan BNM, pertumbuhan direkodkan lebih kukuh berbanding 8.9 peratus yang dicatat pada suku kedua tahun ini.
Gabenornya, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata pertumbuhan ini didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan pendapatan yang bertambah baik serta sokongan dasar yang berterusan.
Menurutnya, ekonomi Malaysia dijangka berkembang sebanyak 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2023, disokong permintaan dalam negeri yang kukuh berikutan pasaran pekerjaan yang semakin baik, pelaksanaan projek infrastruktur besar dan jumlah kemasukan pelancong yang tinggi.
“Namun, ia masih terdedah kepada pertumbuhan ekonomi global yang lemah daripada jangkaan, penghindaran risiko yang lebih tinggi dan konflik geopolitik yang meruncing dan rantaian bekalan yang kembali terganggu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan angka inflasi keseluruhan mencapai tahap tertingginya iaitu 4.5 peratus pada suku ketiga manakala inflasi asas terus meningkat kepada 3.7 peratus.
Secara keseluruhan, Nor Shamsiah juga mendedahkan inflasi keseluruhan dijangka berpurata pada 3.3 peratus pada tahun 2022.
Dalam pada itu, BNM menjelaskan peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya didorong oleh kesan asas daripada diskaun bil elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2021 dan akan reda pada suku keempat 2022.
Tambah bank pusat itu, inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka terus tinggi bagi baki 2022 dengan permintaan yang terus bertambah baik dalam keadaan kos yang tinggi.
Sementara itu, nilai ringgit menyusut sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS pada suku ketiga tahun 2022, sejajar dengan mata wang serantau yang menurun nilai pada purata 5.5 peratus.
“Hal ini mencerminkan dolar AS yang terus kukuh berikutan dasar monetari yang terus diperketat oleh Federal Reserve AS,” katanya.
Ujar Shamsiah, meskipun pasaran kewangan domestik mungkin mengalami risiko volatiliti lebih tinggi pada masa hadapan, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung.
Ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh kata beliau diikuti permodalan sistem perbankan yang teguh.
“Bank Negara Malaysia akan terus memantau perkembangan pasaran dengan rapi serta memastikan bahawa pelarasan kekal teratur untuk menyokong pengantaraan yang berkesan bagi ekonomi,” jelasnya.
Mengulas mengenai suku keempat 2022, Bank Negara menjangka ekonomi akan terus berkembang meskipun pada kadar yang lebih sederhana.
Ini mencerminkan persekitaran global yang lebih mencabar serta ketiadaan kesan asas.- TVS