IPOH, 4 April : Kertas siasatan berhubung tiga kanak-kanak yang melakukan aksi berbahaya dengan mengeluarkan separuh badan dari dalam kereta yang sedang bergerak di Tambun di sini, baru-baru ini sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata ,bapa kepada kanak-kanak itu yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah pihaknya selesai merakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Sepatutnya bapa kepada kanak-kanak itu perlu lebih bertanggungjawab ke atas keselamatan anak-anaknya dan tidak sepatutnya membenarkan aksi sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas melawat hari pertama sesi baharu persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan di Jalan Batu Bungkal di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan lelaki berusia 37 tahun itu di Sunway City di sini pada pukul 9.30 malam, 24 Mac lalu.
Terdahulu, polis menyiasat isu rakaman video menunjukkan aksi berbahaya tiga kanak-kanak dalam sebuah kereta dipercayai dirakamkan di Jalan Tambun, yang tular di laman sosial Facebook.-TVS