KUCHING: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) telah mengadakan lima (5) siri Pesta ‘Birumoh’ iaitu pesta menuai yang menjadi tunjang kepada budaya asli masyarakat Bidayuh.
Penganjurannya disifatkan penting, lebih-lebih lagi dalam kalangan golongan muda baik dari golongan umur kanak-kanak mahupun remaja.
Timbalan Presiden DBNA Chali Ungang berkata, usaha ini penting bagi menghidupkan semangat kebudayaan masyarakat Bidayuh agar tidak mati ditelan zaman.
Usaha ini juga telah dijayakan dengan penglibatan masyarakat Bidayuh dari Bau, Lundu, Penrissen, Padawan dan Serian.
“Kita tidak boleh menyalahkan golongan muda sekiranya mereka tidak banyak mengetahui tentang budaya asli masyarakat Bidayuh. Sebaliknya, kami dari pihak DBNA berpendapat satu usaha harus dilaksanakan bagi membawa mereka bersama-sama dalam melaksanakan setiap tradisi Bidayuh bukan sahaja sebagai memperkenalkannya kepada mereka tetapi juga untuk diingati dan diteruskan di masa hadapan.
Apa yang membanggakan adalah, setakat ini seramai 70% golongan muda telah terlibat dalam menjayakan pesta ‘Birumoh’ dan mereka masing-masing tampak menghayati setiap makna budaya asli Bidayuh lebih-lebih lagi ketika mengayakan pakaian tradisional Bidayuh, tarian tradisional dengan diiringi muzik tradisional yang berterusan,” katanya ketika menghadiri program terbitan TVS, Sejahtera Asia untuk segmen Gawea Sowa: Cabaran memulihara tradisi Gawai Bidayuh agar terus hidup, pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa sambutan Gawea Sowa (Hari Gawai) di zaman ini sudah tidak lagi begitu asli.
Ini kerana perubahan yang berlaku dari zaman ke zaman.
“Masyarakat semakin moden. Kita sedar Gawea Sowa di zaman sekarang tidak lagi mengamalkan nilai-nilai tradisi yang asli namun masih ada lagi kampung-kampung Bidayuh yang melaksanakannya meski tidak ramai.
“Memang betul tradisi ini kian terhakis, namun sudah menjadi tanggungjawab DBNA untuk meneruskan tradisi agar ia selari dengan peredaran zaman. Antara pendekatan kami adalah melakukan setiap upacara-upacara asli secara simbolik seperti memberi tanda kesyukuran kepada roh-roh nenek moyang kita,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut memperkenalkan identiti bagi masyarakat Bidayuh yang dikekalkan sehingga masa kini iaitu ‘Baruk’.
‘Baruk’ merupakan sebuah bangunan yang menjadi tempat yang selamat bagi penduduk kampung Bidayuh khasnya untuk mempertahankan diri dari serangan musuh dan binatang buas.
Pada zaman dahulu, penduduk kampung juga kebiasaannya menggunakan ‘Baruk’ (Bangunan) sebagai tempat bertemu dan membincangkan kebajikan penduduk kampung.