KAPIT: Rakyat Sarawak dinasihati untuk mematuhi arahan kerajaan negeri tatkla penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata tindakan orang awam yang dikatakan ingkar dan pulang ke kampung menggunakan bot ekspres sehingga menyebabkan kesesakan di jeti Kapit seperti yang tular telah menimbulkan kebimbangan.
Tambah Nanta, situasi itu sekaligus merencatkan usaha bersama untuk memutuskan penularan jangkitan covid-19.
“Tetapi semua usaha dan inisiatif ini tidak akan memberi kesan sekiranya rakyat tidak bersama-sama mengamalkan kawalan kendiri yang ketat di samping mematuhi semua SOP yang telah digariskan.” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu kata Nanta, sambutan Hari Raya Aidilfitri telah menyumbang kepada peningkatan kes yang mendadak dengan 24 kluster sambutan Aidilfitri telah dikenalpasti akibat daripada aktiviti rentas daerah dan negeri.
Justeru belliau meminta masyarakat untuk mengambil iktibar untuk tidak pulang ke kampung dan merentas daerah pada sambutan Hari Gawai nanti.
Kapit yang sebelum ini diletakkan sebagai zon hijau juga telah merekodkan angka jangkitan Covid-19 setakat ini sebanyak 4,257 kes.