KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan Bonnie Bunyau Gustin membuktikan prestasinya di tahap yang terbaik untuk ke kejohanan Paralimpik Tokyo, selepas meraih pingat emas di Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand hari ini.
Atlet kelahiran Kuching berumur 20 tahun itu berjaya melakukan angkatan seberat 226 kilogram (kg) untuk meraih pingat emas dalam kategori lelaki atas 72kg, pencapaian yang jelas bertambah baik berbanding angkatan 207kg yang dilakukannya untuk memenangi dua pingat emas di Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2019 di Nur-Sultan, Kazakhstan.
Juara Paralimpik London 2012, Nader Moradi dari Iran merangkul pingat perak dengan angkatan 204kg manakala Alexandr Daskov dari Kazakhstan di tempat ketiga (140kg) dalam kejohanan yang disiarkan secafra penstriman langsung di laman Facebook rasmi Powerlifting Para Dunia.
Jurulatih powerlifting negara Jamil Adam semasa dihubungi di Bangkok berkata persembahan Bonnie amat menggalakkan ke arah Paralimpik Tokyo yang dijadualkan pada 24 Ogos.
“Dari segi prestasi, beliau memang menunjukkan peningkatan yang membanggakan berbanding kejohanan terdahulu. Beliau ketika ini di ranking nombor satu dunia bagi kategori 72kg di ranking Tokyo, bagaimanapun, ranking ranking muktamad bagi Tokyo akan dikemaskini selepas Piala Dunia Powerlifting Para 2021 Fazza Dubai ke-11,”katanya kepada Bernama.
Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menerusi Facebook, turut mengucapkan tahniah kepada Bonnie atas persembahannya yang cukup memberangsangkan itu.
Sementara itu Bibiana Ahmad memecahkan rekod angkatan terbaik peribadi beliau sebelum ini 70kg, dengan mengangkat 80kg dalam pusingan ketiga untuk membawa pulang pingat emas kedua kepada Malaysia hari ini dalam kategori wanita 67kg keatas.
Bibiana merupakan pemenang tunggal kerana hanya beliau satu-satunya atlet yang mengambil bahagian dalam kategori itu.
Seorang lagi atlet powerlifting wanita negara Sona Agon berjaya membuat angkatan 90kg untuk memecahkan rekod terbaik peribadi beliau 70kg, namum ia tidak cukup baginya untuk muncul juara dalam kategori wanita 73kg keatas, dan beliau terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.
Atlet para Turki Sibel Cam memenangi pingat emas dengan angkatan 125kg, manakala pingat perak dimenangi oleh Arawan Bookpo dari Thailand (105kg).
Persembahan hebat ketiga-tiga atlet para itu mencuri perhatian Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, apabila beliau menyampaikan ucapan tahniah kepada mereka menerusi akaun Twitternya.
“Satu lagi berita gembira!! Tahniah saya ucapkan kepada Bonnie Banyau dan Bibiana Ahmad yang telah meraih pingat emas dan Sona Agon dgn pingat gangsa di World Para Powerlifting World Cup 2021! Inilah kuasa kontinjen Malaysia! Tahniah dan teruskan usaha #DemiMalaysia,” Reezal Merican tweeted.
— BERNAMA